Solat Untuk Semua
1) SOLAT MEMERLUKAN
KESABARAN DAN SOKONGAN KELUARGA
Firman Allah: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan
sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak
meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan
(ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha
20[132]).
ULASAN: Setelah ayat ini diturunkan, baginda Rasulullah setiap pagi akan pergi
ke rumah Fatimah lalu mengejutkan puterinya itu untuk bersolat. Allah juga
menjamin rezeki bagi orang yang bersolat kerana Dialah tuan Yang memberi rezeki
(Tafsir Ibn Kathir).
Firman Allah: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu),
pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang
berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan
(terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang
demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Dan
sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah),
kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang
berbuat kebaikan (Hud [11:114-115]).
2) SOLAT MENCEGAH PERKARA KEJI, MUNGKAR DAN GEJALA SOSIAL
Firman Allah: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan
kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya
mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah)
Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut [29:45]).
ULASAN: Solat yang didirikan dengan penuh penghayatan akan membendung seseorang
Muslim dari melakukan perkara keji kerana intisari solat (kepatuhan kepada
segala arahan Allah) dihayati dan dilaksanakan. Perlakuan dosa dan maksiat
seseorang manusia menjadi kayu ukur penerimaan solatnya. Orang yang bersolat
tetapi masih melanggar arahan Allah sebenarnya tidak benar-benar memahami dan
menmghayati falsafah solat. Oleh kerana itu, perbuatan solat disebut dalam
al-Quran dengan arahan DIRIKANLAH kerana ia perlu didirikan dengan asas ilmu yang teguh dan penghayatan.
3) SOLAT ADALAH IBADAH YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN WALAU KETIKA BERADA DALAM
SAAT GENTING
Firman Allah: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka
(semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam)
mereka,……(al-Nisa’ [4:102])
ULASAN: Ayat ini diturunkan dalam sebuah perang di mana musuh berada di hadapan
umat Islam. Pihak musuh pula diketuai oleh Khalid bin al-Walid. Setelah melihat
tata cara umat Islam bersolat walau ketika saat genting, Khalid tertarik dengan
Islam dan akhirnya memeluk Islam (Tafsir al-Munir).
Firman Allah: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada
waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar),
dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau
berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu
mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),
sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya
(al-Baqarah [2:238-239]).